image1 image1 image1 image2 image3

HELLO I'M Cik Ana Gigit Jari|WELCOME TO MY PERSONAL BLOG|Passionate and Independent

TIP-TIP DAN CARA MENJADI INSAN ZUHUD

Assalamualaikum.



Erti zuhud ialah hati tidak terpaut atau tidak terpengaruh dengan dunia dan nikmat-nikmatnya.

Lawan zuhud ialah cinta dunia. Yakni orang yang hatinya terpaut dengan dunia atau mencintai dunia. Sama ada dia boleh memiliki dunia atau tidak, sedikit atau banyak, maka ternafilah sifat zuhudnya. Antara dunia itu ialah harta, yakni yang berupa wang, emas, intan berlian, rumah, kenderaan, tanah, kebun dan lain-lain lagi. Atau pangkat seperti jawatan raja, perdana menteri, menteri, pengarah, pegawai tadbir, kerani, mufti, kadhi dan lain-lain lagi.



Allah juga memberi peringatan keras di dalam firman-Nya: “Jangan sampai dunia itu menipu daya kamu.” (Luqman: 33)


TIP-TIP DAN CARA MENGEKALKAN ZUHUD:

1. Mewah mesti kena pada tempatnya. Umpamanya, kalau makan kenduri atau makan berjemaah, dibenarkan kita bermewah-mewah lauk-pauknya. Tetapi kalau kita makan seorang, eloklah berzuhud.

2. Miskin itu tidaklah dilarang tetapi tidak dibenarkan sampai tidak mencukupi keperluan-keperluan asas. Jadi dibenarkan miskin asal cukup keperluan asas.

3. Bermewah-mewah tidak boleh di sebarang tempat yakni di waktu orang semuanya miskin, tidak dibenarkan kita bermewah-mewah. Agar kekayaan itu dapat disalurkan kepada orang miskin.

Secara ringkasnya, kita boleh mengambil dunia ini tetapi perlu pertimbangkan mengikut ukuran semasa atau individu atau jemaah atau kumpulan atau pemimpin atau mengikut tanggungjawab serta tugas-tugas yang dipikul oleh seseorang dan lain-lain lagi.

Contoh: Mengikut ukuran semasa yang tidak menafikan zuhud:

1. Di zaman ini untuk menjimatkan masa, tenaga dan lain-lain lagi, kenalah naik kenderaan kapal terbang untuk perjalanan yang jauh, bukan pakai kereta lembu atau kuda atau kereta.

2. Di zaman moden ini untuk berhadapan dengan musuh-musuh, kenalah kita gunakan senjata-senjata canggih bukan lagi menggunakan keris.


AKIBAT MENCINTAI DUNIA BERLEBIHAN

Cinta dunia ini boleh mengakibatkan beberapa hal. Di antara-nya ialah:

1. Dia sentiasa bertungkus-lumus memburu dunia sehingga tidak pernah memperhitungkan halal atau haram.

2. Hatinya sentiasa bimbang atau tidak tenang kalau-kalau dia tidak mendapat dunia yang diburunya itu.

3. Dia jadi manusia yang inferiority complex atau hina diri dengan manusia yang berada bilamana dunia itu tidak dapat dimilikinya.

4. Kalau dia memiliki dunia itu, bimbang pula kalau-kalau hilang atau berkurangan daripada tangannya. Bimbang dibinasakan oleh bencana alam atau dicuri oleh manusia dan sebagainya.

5. Kalau dia lihat ada orang lain dapat lebih darinya, dia akan susah hati. Dia akan berusaha mencari lagi untuk mengatasi orang itu dengan apa cara pun, selain merasa hasad dengki terhadap orang itu.

6. Dia jadi orang yang berangan-angan untuk sentiasa menokok tambah lagi dunia yang telah sedia ada dan fikiran serta usaha-usahanya sentiasa ke arah itu.

7. Dia akan jadi orang yang tamak dan rakus.

8. Kalau dia memiliki dunia, dia akan jadi manusia yang sombong dan boleh jadi kejam.

9. Walaupun niatnya untuk mencari kebahagiaan atau ketenangan tetapi badan, hati dan fikiran tidak kenal rehat, tidak ada ketenangan dan kebahagiaan lagi.

10. Ia tidak akan tunaikan kewajipan dengan dunia yang dimilikinya. Umpamanya, jika dia dapat pangkat atau jawatan dia akan jadikan itu semua untuk kepentingan peribadinya lebih daripada Allah SWT dan tidak berbakti kepada masyarakat.

11. Kalau dia orang yang berharta, ia tidak akan keluarkan zakat yang menjadi kewajipannya. Apatah lagi untuk bersedekah.

12. Ia tidak akan tunaikan kewajipan yang aradhi (mendatang). Contoh, orang yang susah tidak dibantunya. Kalau negaranya menghadapi perang, bencana atau kesusahan, dia tidak akan memberi bantuan.

13. Akan timbul pecah belah dan hilang kasih sayang dan persaudaraan kerana sombong dengan dunia dan kepentingan diri sendiri.

14. Manusia akan membencinya. Apatah lagi Allah. Sebab itu sebuah Hadis Rasulullah SAW menyeru: “Hendaklah kamu zuhud dengan apa yang ada di dunia nescaya kamu akan dicintai Allah. Hendaklah kamu berzuhud dari apa yang ada pada manusia nescaya kamu akan dicintai oleh manusia.” (Riwayat Ibnu Majah)

15. Ia akan jadi perosak masyarakat. Kerana hendakkan dunia, dia sanggup menipu, menyogok, rasuah, makan riba, beli undi, beli ijazah, beli kertas periksa, beli perempuan atau lelaki dan lain-lain lagi.

16. Kalau dia berjawatan pemerintah, mungkin dia jadi diktator, kejam, zalim, yang sanggup menjatuhkan lawan dengan menaburkan wang untuk mempertahankan kedudukannya, menghina dan memfitnah orang demi mempertahankan jawatan atau kerana inginkan jawatan itu.

17. Timbullah huru-hara, haru-biru, kucar-kacir, demontrasi atau mungkin juga peperangan di tengah-tengah masyarakat.


Sumber: Bahan Bacaan & Page Islamik.

Share this:

CONVERSATION

1 comments: